Syukur alhamdulillah kita bertemu lagi dalam ruangan blog keluarga Tuk Minah ini setelah sekian lama mendiamkan dirinya buat beberapa bulan. Kemunculannya kali ini membawa berita gembira dan suasana meriah dan keraian. Apa tidaknya, semalam hari Ahad, 22 haribulan Julai, 2011 adalah hari bermakna bagi cucunda Hajah Aminah iaitu Awang Muhammad Ihtisyamuddin bin Haji Abd Ghani yang telah selamat mengikat tali pertunangannnya dengan Dayang Raimie Hebriyah binti Haji Ibrahim. Syabas dan tahniah diucapkan kepada Bee Aye dan Raimie dan semoga lekas-lekas tah menjamu nasi minyak untuk kami semua!!!!
Puda telah diberi penghormatan oleh Pa Basai Jo untuk mengepalai rombongan berpesuruh pihak lelaki dan seterusnya menjadi jurucakap pihak lelaki di dalam majlis tersebut. Sebagai kenang-kenangan dan menjadi ristaan kepada anak cucu katani kemudian hari, maka Puda perturunkan sedikit cebisan perbualan Puda semasa majlis berpesuruh tersebut:-

Pembuka Mulut
Bismillahir Rahmanir Rahim. Alhamdulillahi Rabbil Alamin. Assalatu Wassalamu Ala Asyrafil Anbiai Walmursalin Sayyidina Muhammadin Waala Alihi Wa'ashabihi Ajmain.
Sebelum abis hamba membuka kata menyampaikan hasrat dan hajat, sebagaimana yang telah disepakati pada perundingan keluarga yang telah lalu, ada baiknya abis hamba menyampaikan terlebih dahulu hantaran pembuka mulut berupa wang tunai $100.00 dan sebentuk cincin .

Menyampaikan Hajat
Alhamdulillah, tanda pembuka mulut sudah diterima. Abis hamba panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana atas limpah kurnia dan rahmatNya jua, katani semua dapat berkumpul pada petang ani bagi suatu majlis yang penuh berkebajikan. Dan abis hamba iringi ucapan selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW serta para sahabat dan pengikut-pengikut Baginda yang jujur dan setia hingga ke akhir zaman..
Assalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarkatuh
Pertama-tama, bagi mewakili kekanda Awang Haji Abd Ghani bin Haji Awang Omar dan isteri beliau, Dayang Hajah Maznah binti Haji Talip, hamba sukacita mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada Awang Haji Ibrahim bin Haji Jamudin dan isteri serta keluarga kerana berkesudian menerima dan memberikan layanan penuh mesra kepada rombongan kami pada petang ini. Amat jarang sekali abis hamba datang berkunjung ke rumah Awang Haji Ibrahim ani, dan pada petang ani dengan bertawakkal kepada Allah Subhanahu Wataala, abis hamba karih-karihi jua berkunjung ke mari kerana memang abis hamba membawa hajat yang besar.
Bak kata pantun melayu:
Daun raya di atas bukit
Tempat raja menanam pala
Harapan kami bukan sedikit
Sebanyak rambut atas kepala
Cantik memanjat si pohon ara
Nampaknya cantik berseri laman
Besar hajat kami tidak terkira
Hendak memetik bunga di taman
Hamba ingin menyampaikan hajat kekanda Awang Haji Abd Ghani bin Haji Awang Omar dan isteri yang mana mereka ini ingin menyerahkan anak lelakinya yang bernama Awang Muhammad Ihtisyamuddin bin Haji Abd Ghani, siapa yang telah menyatakan hasrat beliau untuk berhajat kepada anak perempuan Awang Haji Ibrahim bin Haji Jamudin yang bernama Dayang Raimie Hebriyah binti Haji Ibrahim untuk dijadikan beliau sebagai pasangan hidup.
Sebagaimana yang telah dibincangkan dalam perundingan awal yang lalu, maka abis hamba ingin menyerahkan hantaran tanda bertunang iaitu sebentuk cincin dan wang tunai $100.00 sebagai memenuhi permintaan pihak keluarga perempuan.

Demikian disampaikan hajat abis hamba sekelian.
