Pada tahun 60-an teringat pula nostalgia ketika kami berhari raya di sebahagian besar
kampung Air. Kampung Air ini sebahagian besarnya terdiri daripada kampung Saba yang dipecahkan lagi beberapa bahagian iaitu Saba Darat, Saba Laut, Saba Tengah dan Saba Ujung. Sementara itu pula kampung Lurung Sikuna pula dibahagikan kepada "A" dan "B".
Ketika itu dalam tahun 1964, kami beramai-ramai terdiri daripada Puda, Pa-iring, Datin Hjh
Zainun, Pg. Datin Yura Alaiti dan diketuai oleh Hj Metussin Arsad memulakan perjalanan kami
dari kampung katani Lurung Sikuna dengan meniti jambatan pile yang menghubungkan antara
sebuah kampung dengan kampung yang lain. Perjalanan kami bermula dari pagi untuk berhari
raya hinggalah waktu malam.
Yang seronoknya ketika berhari raya ketika itu rumah yang dikunjungi tidak perlu kita kenali
atau sebaliknya. Setiap rumah yang dikunjungi kami mengambil sebiji gula-gula untuk
menghitung berapa jumlah rumah yang kami kunjungi. Sampul surat hijau belumlah lagi ada
ketika itu tetapi semangat untuk berhari raya memang meluap di hati kami. Rombongan kami itu merentasi beberapa buah kampung Saba ; maklumlah rumah semuanya berhampiran. Dari sebuah rumah ke sebuah rumah tuan rumah akan menunggu kami untuk mempelawa berkunjung ke rumah mereka walau pun kami tidak saling kenal mengenali.
Pada waktu dulu tidak ada istilah rumah terbuka dan hidangan hanyalah beberapa jenis makanan seperti meroko, keropok, dan beberapa jenis kueh tempatan katani seperti sapit, buahulu, jala dan sebagainya. Kacang jagus memang sudah menjadi satu kemestian. Satu perkara yang unik waktu dulu, setiap rumah akan menyediakan sebiji kek atau makanan yang besar yang dipanggil "kepala meja" tetapi ianya tidak boleh dimakan. Minuman yang dihidangkan adalah seperti manisan dan beberapa jenis minuman botol oren, cherry sarsaparilla, ice cream soda, lemonade dalam botol kaca kecil.
Setiap rumah yang dikunjungi tidaklah begitu lama lebih kurang 10 hingga 20 minit kerana
yang penting bagi kami jumlah rumah yang banyak dikunjungi akan menjadi kebanggaan.
Setelah berjalan melalui jambatan pail ini ke beberapa buah kampung Saba, Kampung Peramu,
kampung Setia Pahlawan waktu malam barulah kami pulang. Setelah sampai ke rumah barulah kami menghitung jumlah rumah yang telah kami kunjungi. Setelah kami kira gula-gula kami telahmengunjungi lebih kurang 70 buah rumah sehari suntuk.
Waktu hari raya dulu hanyalah terhad kepada 3 hari sahaja. Pakaian cara melayu belumlah
begitu popular kerana kami kebanyakan hanyalah memakai baju kemeja dan seluar panjang. Kasut yang popular waktu dulu ialah kasut ala "BEATLES".
Itu lah sedikit perbezaan, hari raya waktu dulu dan sekarang. Rumah terbuka selalunya akan
menyediakan makanan yang istimewa ketika ini yang belum terdapat pada waktu dulu.
Kanak-kanak pula akan mengharapkan sampul surat hijau. Rumah yang dikunjungi sekarang
hanyalah sanak saudara dan rakan-rakan yang dikenali sahaja.
Demikianlah kisah manis kami berhari raya pada tahun 60-an yang masih menjadi ingatan.