Pada waktu musim haji ini teringatlah pula saya dan ninda Haji Tahir bersembang dengan sahabatnya di sebuah kedai kopi HAI LAM di Jalan Sultan Bandar Brunei ketika itu.
Hari itu ialah hari sabtu, hari bilamana nini Haji Tahir membeli barang dagangannya. Bila dia terjumpa sahabatnya ini, teruslah dia mempelawa ke kedai kopi tersebut. Tuan Haji Ajak berasal dari kampung Pulau Ambok dekat Kg. Pintu Malim. Dia adalah orang yang sebaya dalam rombongan haji ketika mereka sama-sama menunaikan fardu haji dalam bulan Mac 1963 bersama Ayahanda Hj Omar, Tangah laki dan bini serta Dang Hjh Safiah isteri Hj Mohammad ketika ia berusia belasan tahun.
Hj Ajak ini berbadan besar denngan memakai tengkolok dan berkain pelikat dengan memakai tali pinggang agak besar seperti tok lebai usulnya. Mereka pun memulakan cerita mereka dengan mengenang kembali peristiwa penting dalam menyahut rukun Islam yang kelima itu. Semua rombongan bakal haji ketika itu ditempatkan di Masjid Omar Ali Saifuddin beberapa malam sebelum bertolak dari Tambatan Kastam DiRaja menuju ke Labuan.
Seingat saya ada tiga buah kapal laut yang membawa rombongan bakal haji ini dengan menggunakan kapal laut kepunyaan Jabatan Laut ketika itu. Rombongan keluarga katani menaiki kapal "SULTAN" sementara rombongan yang lain menaiki kapal "BOLKIAH" DAN KAPAL "PRETTY". Ketika kapal-kapal ini meninggalkan tambatan Kastam dengan laungan azan berkumandang maka sanak saudara pun melambaikan tangan dan tidak cukup dengan lambaian tersebut setengah sanak saudara mengekori kapal itu dengan moto sangkut sehingga ke kuala sungai Brunei. Ini kerana mereka tahu pemergian mereka ini memakan masa selama tiga bulan lebih.
Setelah belayar selama lebih dua jam sampailah mereka di Labuan. Di sini mereka bertukar kapal besar untuk menuju ke Pelabuhan Kelang Malaysia yang memakan masa lebih kurang sehari .
Seingat saya mereka merista telah bermalam di Malaysia beberapa hari sebelum bertolak menuju ke Pelabuhan Aden di Jeddah dengan menaiki kapal "HM MALAYA" seperti poskad yang dikirim oleh Haji Omar pada 10-03-1963.
Pelayaran ini agak lama iaitu memakan masa lebih 1 bulan bersama-sama dengan jemaah haji dari Malaysia. Apakah aktiviti mereka lakukan dalam pelayaran yang memakan masa agak lama ini? Dalam kapal ini diadakan permainan kanak-kanak seperti mencari wang syiling dalam tepung dan lain-lain khusus untuk kanak-kanak damit. Dang Aji tidak melepaskan peluang dalam permainan tersebut. Bagi abis nini dan bapa dan sahabat dari Brunei pula demi mengisi masa yang agak panjang ini mereka berdikir sesama mereka dari Brunei. Bayangkan saja kalau Jester dan Bab menunaikan haji dengan menaiki kapal laut ketika ini tentulah mereka mengisi masa ini dengan karaoke dengan mendendangkan lagu dakwah dan lagu padang pasir!
Di Tanah Suci Mekah seperti biasa mereka berada selama sebulan lebih bagi mengerjakan ibadat haji.
Pelayaran balik pula memakan masa sebulan lebih lagi dan semuanya perjalanan mereka ini memakan masa lebih kurang 3 bulan! Kalau tidak silap dalam pelayaran balik menuju ke tanah air mereka singgah di Singapura dan sempat bergambar ramai di salah sebuah studio di sana.
Sampai saja rombongan haji ini dari Labuan merapati Kastam DiRaja dengan menaiki kapal laut yang sama, sanak saudara tidak sabar lagi untuk menyambut kepulangan mereka. Seingat saya nini Haji Tahir ini ditarik dari kapal "SULTAN" ke salah sebuah moto sangkut! saya juga ingat DHE dan Ka Haji Noor Kaseh adalah orang pertama yang menyambut rombongan keluarga katani.
Demikianlah secebis coretan yang saya ingat ketika mendengar perbualan mereka pada waktu itu yang dapat saya imbas kembali. Mereka juga merista sebelum rombongan mereka itu iaitu dalam tahun 50-an, perjalanan dari Brunei ke Mekah mengambil masa selama enam bulan!
Selesai saja nini bersembang dengan Haji Ajak ini, tibalah masa untuk membayar minuman. Tahukah kamu apa yang terjadi ketika membuat pembayaran ini? mereka berdua ini berebut untuk membayar tak ubah seperti bergaduh pula mereka ni. Yang aneh dan klassiknya mereka ini berlumba pula untuk membayar! Kalau zaman ani pula terbalik berebut untuk meminta belanja .. Memanglah kata pepatah Lain ulu lain parang, lain dulu lain sekarang..
Sebaik saja kami berdua berkayuh balik ke rumah putih pada hari itu, kami dapati babu Hjh Aminah sedang sibuk hendak melahirkan anak damit. Kalau tidak silap malam itu lahirlah seorang anak perempuan yang dinamakan dengan Mahyon pada 4hb. Mac 1964. Nama ini mungkin diambil bersempena dengan seorang pelakon dalam filem Melayu ketika itu seniwati Hashimahyon..
Wallahuaklam...
Salam hormat..
No comments:
Post a Comment