Selamat Datang!

A warm welcome to the family blog of Hj Awg Omar and Hjh Aminah.

This is a place to capture all the memorable family moments to be shared with all the family members, wherever they are.

It is also a place to reminisce the good ole days :-)

All members of the family are welcome to contribute stories and pictures to this blog (just leave your email on the tagboard).


Apa cerita..........Hari Guru

Oh ya hampir terlupa bahawa dua hari yang lalu adalah sambutan Hari Guru. Almaklumlah sudah bersara ini, ingatan pun semakin berkurangan. Dikesempatan ini Pa Basai ingin sama mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua keluarga yang yang bertugas sebagai pengajar dan pendidik. Jasa abis kita mendidik sanak saudara dan anak bangsa tetap dikenang sepanjang zaman.

Bercakap mengenai dengan hari guru, tidaklah dapat dinafikan bahawa guru memainkan peranan yang amat penting dalam pembentukan modal insan yang sempurna.
Adakah guru yang dimaksudkan hanya khusus kepada guru yang bergelar cikgu? Bagi Pa Basai tidak semestinya. Sesiapa jua yang mengajar atau mendidik baik formal atau tidak formal patut dianggap sebagai guru.


Dalam hal inilah Pa Basai terkenang kepada Allahyarham ayahanda Hj.Omar yang mendidik, mengasuh dan membesarkan Pa Basai. Beliau merupakan seorang yang lemah lembut tutur bahasanya. Terlalu jarang Pa Basai mendengar beliau meninggikan suaranya bila beliau menegur dan mendidik Pa Basai. Beliau menasihatkan Pa Basai dengan bahasa-bahasa yang manis dan selalu memberikan ruang kepada Pa Basai untuk membuat sebarang keputusan sesudah dewasa. Bila beliau kurang senang dengan kerenah Pa Basai dia akan banyak mendiamkan diri. Mungkin bagi beliau lebih baik berdiam dari membebel kerana apa yang disuara seorang bapa adalah doa kepada anak.

Beliau merupakan seorang yang peiski. Beliau sentiasa memberikan sokongan dalam apa jua kegiatan kebajikan. Beliau tidak pernah menegah Pa Basai dalam berkecimpung dalam kegiatan Budak Pengakap, melibatkan diri dalam berpersatuan waktu atu Persatuan Sekata, beriadah dengan kegiatan sukan seperti bermain bola sepak, takraw, badminton,olah raga, volley ball dan pingpong.

Disamping menyekolahkan Pa Basai di Sekolah Melayu Lela Menchanai diwaktu pagi beliau juga menyekolahkan Pa Basai bagi pendidikan Ugama di Sekolah Ugama Lela Menchanai di sebelah petang. Disebelah malam Pa Basai di suruh belajar membaca Al Quran. Guru –guru Pa basai ialah Allahyarham Hj.Mat Serudin (bapa kepada Pehin DSLJ Hj.Abas dll) dan juga Ninda Hj.Md.Tahir(ayah kepada bonda Hjh.Aminah). Mereka juga Pa Basai anggap sebagai guru Pa Basai. Setelah meningkat remaja Pa Basai telah disuruh belajar berdikir Brunei yang sekarang digelar Dikir Syirafil Anam. Guru yang mengajar ialah Allahyarham Hj.Abd.Rahman yang tinggal berhadapan dengan rumah habis Pa Basai di Perpindahan Berakas. Apatah lagi ayahanda Hj.Omar seperti yang dirista oleh Puda kamu ialah orang yang gemar berdikir, maka tidak hairanlah Pa Basai dibawa berdikir walaupun suara ani parau parau dirumah-rumah orang majlis berbedak, balik haji atau sambutan maulud Nabi dan lain-lain.

Ayahanda Hj.Omar juga orang suka mendulur. Masih segar didalam ingatan Pa Basai bila mana Pa Basai baru lulus ujian memandu kereta, Pa Basai semacam memonopoli untuk memakai kereta ayahanda iaitu kereta Morris Minior berpendaftaran B5547 berwarna kelabu. Boleh dikatakan macam Pa Basai tah yang empunya kereta.Apa inda disuruh kesana kemari dengan kereta inda menolak. Malah diunjar- unjar lagi tu supaya kana suruh. Dalam pada itu beliau sentiasa menasihatkan Pa Basai untuk berhati-hati memandu dan sentiasa bertimbang rasa dengan pengguna –pengguna dijalan raya.

Dalam mendisiplinkan Pa Basai jarang ia melihatkan rasa kurang senangnya kepada Pa Basai apabila Pa Basai membuat kesilapan dan kesalahan. Beliau menegur secara baik waima pun Pa Basai adalah anak. No lecturinglah.

Pendek kata bagi Pa Basai beliaulah bapa , dan guru yang terunggul dalam kehidupan Pa Basai. Untuk itu marilah semua anak cucu dan cicitnya sama-sama mensedekahkan Surah Al Fatihah dan memanjatkan doa semoga Allah sentiasa mencucuri rahmat keatas beliau dan dimasukkan kedalam golongan orang orang yang beriman.

Pa Basai

No comments:

Happening dates