Selamat Datang!

A warm welcome to the family blog of Hj Awg Omar and Hjh Aminah.

This is a place to capture all the memorable family moments to be shared with all the family members, wherever they are.

It is also a place to reminisce the good ole days :-)

All members of the family are welcome to contribute stories and pictures to this blog (just leave your email on the tagboard).


Mencari Sumber Rezeki.

Ketika itu pada tahun 1963, memang sudah menjadi kebiasaan atau kelaziman bagi Hj Omar dan isteri bangun seawal jam 4.00 pagi, bak kata pepatah Alah Bisa Tegal Biasa. Dalam keheningan pagi dan sepi beliau bersenam ringan di pantaran rumah putih lantas mengambil sebatang rokok berjenama "LUCKY STRIKE" dan mengambil pendidik atau manchis, duduklah beliau dekat anak tangga sambil mengepulkan asap rokoknya.

Nun jauh di seberang sungai Brunei kedengaranlah sayup-sayup laungan azan membelah angkasa dari Masjid Omar Ali Saifuddin. Selesai berudhu beliau pun menunaikan kewajipan fardu solat subuh mengabdi diri pada ilahi.

Hajjah Aminah pula memulakan tugas harian dengan menyediakan bahan-bahan mee yang akan digoreng untuk jualan di tuck shop Sekolah Melayu Lela Menchanai. Dengan gandingan tenaga suami isteri ini maka mee goreng itu pun dibungkus satu persatu yang akan dijual dengan harga 10 sen. Juru jualnya ninda Hj Tahir akan mengambil komisyen sebanyak 2 sen setiap bungkus. Demikianlah kongsi niaga anak beranak ini dalam menjalankan perniagaan harian mereka.

Bagi Hj Omar pendapatan sampingan ini sangat diperlukan bagi menyara anak-anaknya kerana gaji beliau sebagai demarcator di Jabatan Ukur tidak mencukupi. Disamping itu pula isterinya Hajjah Aminah pula sangat aktif dalam perusahaan tenunan kain Brunei yang memang mempunyai pasaran yang sangat baik.

Perusahaan tenunan kain Brunei yang dihasilkan oleh Kg. Lurong Sikuna memang sudah tersohor dikalangan penenun kain di Brunei ketika itu. Pendokong utama yang memainkan peranan tidak lain tidak bukan Babu Hjh Siti Aminah , Bu Hjh. Tikah, Ni Hajjah Kachi, Bu Hajjah Janis, Bu Hajjah Fatimah, Kekanda Hajjah Rosnah, Ka Bini Hajjah Tuah.

Pasaran kain tenunan asli Brunei melangkau ke benua Eropah kerana pelancong asing memang tidak ketinggalan singgah mengunjungi Kampung Lurong Sikuna apabila mereka membuat lawatan ke negara ini. Kehalusan seni tenunan mereka sangat dikagumi dan eksklusif. Kreativiti pengusaha kain tenunan kampung Lurong Sikuna memang tidak dipertikaikan lagi. Andaikata ikan bedukang dan ikan penjulong yang berenang di bawah rumah putih di sungai Brunei itu pandai berkata-kata, mereka akan tampil menjadi saksi memperakukan kehebatan seni tenunan yang tidak ada tolok bandingnya.

Begitulah antara punca sumber rezeki yang diperolehi kedua suami isteri ini demi menampung perbelanjaan anak-anak mereka sehingga mencapai puncak kejayaan yang katani kecapi sehingga hari ini. Justeru tidaklah sia-sia titik peluh dan jerih payah dan hempas pulas gandingan tenaga kedua suami isteri ini telah membuahkan hasil yang memang diidamkan oleh setiap pasangan demi kejayaan anak-anak mereka.

Salam Hormat dan Selamat Hari Guru kepada keluarga kitani yang sedang dan telah berkhidmat dalam bidang perguruan.

No comments:

Happening dates