Setelah membaca berbagai coretan dari kisah-kisah lalu yang telah diceritakan oleh anak-anak Haji Awang Omar dan Hjh Siti Aminah, kini dengan rasa rendah diri, saya rasa tibalah masanya untuk mengongsikan cerita dari golongan cucu Haji Awang Omar pula.
Dahulunya, generasi kami suka berkumpul di No. 7 Kg Jaya Bakti Perpindahan Berakas (atau lebih dikenali dengan “Pindahan” atau “Berakas”) selepas waktu sekolah. Umur kami dalam lingkungan 8 ke 15 tahun, macam umur durang si Aidi, Hamdi, Ahmad dan Awie lah tu!
Salah satu permainan yang amat kami gemari ialah main “bapa-mama” dimana watak Ayah akan dimainkan oleh Hj Noor Idi Amin and peranan Ibu akan berganti-ganti dimainkan oleh Mazriyani atau Hjh Noor Arbieyah. Yang menjadi kakak di keluarga itu adalah Hjh Noor Aida manakala watak Abang akan dimainkan oleh Hj Mazrul Adini dan Hj Noor Yazid Khairie akan menjadi adik bungsu ☺
Bermacam-macam aktiviti yang dilakukan oleh “keluarga” ini. Salah satu daripadanya adalah bermain “masak-masak”. Dahulunya di belakang rumah Pindahan terdapat satu kawasan yang selalunya digunakan musim “berpekerajahan” atau “berusah-rusah” seperti kenduri perkahwinan dan sebagainya. Dikawasan inilah aktiviti “masak-masak” seronok dilakukan. Biasanya aktiviti ini dikendalikan dengan membahagikan kerja-kerja tersebut. Kaum lelaki akan mengumpul daun-daun dan ranting-ranting yang kering untuk dibakar manakala kaum perempuan, akan mengambil belanga (entah dari mana timbulnya) dan akan diisikan dengan air serta daun-daun yang hijau (membuat gulayan lah tu). Daun-daun tersebut akan dibakar dengan menggunakan api yang selalunya dinyalakan oleh ketua keluarga “Ayah” (entah dari mana kedia dapat, inda kami tau). Aktiviti “masak-masak” ani kerap kami lakukan tanpa pengetahuan penghuni di Pindahan.
Kan dijadikan cerita, pada suatu hari sedang kami asyik bermain “masak-masak”, tanpa kami sedari ada Budayang (dengan baju Sekolah Menengah Berakas nya) datang dari jauh dan berteriak “Hoi, bahapa kamu tu?” setelah melihat kami bermain dengan api. Apa lagi, lintang pukang lah jadinya sorang-sorang lari bertempiaran kerana takut dimarahi oleh Nini Bini dan Angah. hehehe
Kami ber-enam ini juga sangat di manjai oleh Allahyarham Hj Awang Omar. Seperti yang diceritakan oleh anak-anaknya, beliau pernah menjaga kedai di Sekolah Lela Mencanai di Kampong Ayer. Apabila saja Allahyarham pulang dari kedai, memang kerap kali beliau membawa “oleh-oleh” permainan yang akan diberikan kepada cucu-cucunya. Permainan seperti tikam-tikaman, terjun payung, guli dan sebagainya. Salah satu permainan yang saya ingat ialah permainan terjun payung yang akan dibuang dari luar beranda ditingkat atas (bilik Angah dulu) dan diperhatikan macamana ia akan terjun. Terdapat perlawanan lagi terjun payung siapa yang lebih tinggi atau lebih lawa terjunnya. Selapas itu, akan berlari kebawah untuk mengutip permainan itu dan kemudian akan dibuang lagi dari beranda diatas itu. Saya ingat pemberian nini laki inilah yang saya tunggu-tunggu setelah balik dari sekolah.
Bagi Allahyarham Hj Mohd Tahir pulak, kami akan menjadi budak-budak yang selalu di suruhnya seperti mengambil air minuman untuknya dan sebagainya. Kami memang suka apabila disuruh kerana selalu diberi upah oleh Dato ini. Sekali kena suruh, memang dapat seringgit! Kami berasa beruntung sekali….. hehehe
Macam-macam lagi peristiwa manis dan lucu yang dapat diceritakan disini. Mungkin ahli keluarga “bapa-mama” yang lain dapat menyambung lagi cerita-cerita kami ini, Insya-Allah.
(Ada satu cerita yang mengisahkan tunjukkan silap-mata (magic) oleh Allahyarham Nini laki memakai sebatang mancis. Cerita ini akan dimuatkan di satu projek khas nanti, Insya-Allah.)
Jester
(turut disunting oleh Anih)
No comments:
Post a Comment