Selamat Datang!

A warm welcome to the family blog of Hj Awg Omar and Hjh Aminah.

This is a place to capture all the memorable family moments to be shared with all the family members, wherever they are.

It is also a place to reminisce the good ole days :-)

All members of the family are welcome to contribute stories and pictures to this blog (just leave your email on the tagboard).


Tahukah Awda? - Persahabatan akrab - di kampung air


Dari kiri: Mohd Zaini, Abd Ghani dan Abas


Merenung gambar di atas membuatkan Puda tersenyum sendirian; ianya mengembalikan ingatan Puda kepada zaman kanak-kanak dahulu semasa bergelut hidup di kampung air. Seperti yang pernah Puda ceritakan bahawa pengalaman kehidupan di zaman kanak-kanak adalah pengalaman yang paling menyeronokkan dan tidak mudah pudar dari ingatan. Kanak-kanak biasanya sudah mulai menjalinkan persahabatan yang akrab sejak kecil lagi sama ada sesama adik beradik, sepupu, saudara terdekat mau pun dengan rakan setetangga. Sebagai contoh, lihatlah betapa akrabnya hubungan antara Syaza dan Shidah, antara Dina dan Attah, seperti kuatnya pautan irama dan lagu, dan keakraban itu dapat digambarkan dalam peribahasa Melayu: bagaikan aur dengan rebung.


Demikianlah halnya dengan tiga orang anak kecil di dalam gambar di atas.  Keakraban Puda, abang kandung Puda sendiri (Pa Basai, Haji Abd Ghani) serta seorang pupu dua kali kami (second cousin) begitu ketara sekali sejak kami kecil lagi. “Tiga Abdul” (the three stooges) ini akan sentiasa kelihatan bersama-sama: sama-sama berjalan, sama-sama bermain, sama-sama berenang dan menyelam atau bergalau (di perairan hadapan rumah di Sungai Brunei), sama-sama berkayuh jumpung atau perahu, sama-sama bercakalan dan berkelahi, sama-sama bersekolah (sekolah Melayu dan agama di Sekolah Rendah Lela Menchanai dan kemudiannya di Maktab SOAS).


Di antara permainan yang kami gemari sewaktu kecil ialah bermain kikik (layang-layang). Permainan kikik sememangnya satu permainan tradisi Brunei yang amat popular di zaman Puda dahulu. Kerangka kikik diperbuat dari temiang (keratan buluh) yang diraut halus dan dibentuk dengan berbagai bentuk dan ianya dilapis dengan kertas yang berbagai warna dan corak serta ragi. Kikik ini akan diterbangkan dengan menggunakan tali dan kanak-kanak akan bergembira melihat kemegahan kikik masing-masing yang berbagai bentuk dan warna melayang-layang di ruang angkasa. Selain seronok melihat keindahan kikik, kanak-kanak juga sering berpulut kikik untuk menentukan kikik siapa yang gagah bertahan terbang di ruang udara dan kikik siapa pula yang akan putus talinya, terbang melayang entah ke mana. Tidak hairanlah, kebanyakan kanak-kanak yang gemar berpulut kikik, akan mempastikan bahawa tali atau benang kikiknya akan dicaliti dengan balahan agar ia dapat menewaskan pihak lawan nanti ketika berpulut.


Pupu dua kali Puda adalah seorang budak yang memang sangat aktif serta cerdas fikiran. Ia juga terkenal di kampung Puda sebagai seorang budak yang gauk dan suka menyaya kanak-kanak yang seperumuran atau lebih muda darinya. Ia memang jaguh dalam soal bermain dan berpulut kikik. Kenakalan beliau tidak pula menjejaskan kepintaran dan kecerdasan otaknya dan beliau adalah anak murid yang paling cerdik dan pandai di sekolahnya. Sehingga dewasa, beliau telah menjadi seorang peguam yang berjaya dan pernah memegang jawatan-jawatan penting dalam perkhidmatan awam di Negara Brunei Darussalam seperti jawatan Peguamcara di Jabatan Undang-Undang, Setiausaha Tetap Kementerian Undang-Undang, dll. dan menjadi ahli kepada berbagai Lembaga dan Badan-Badan Berkanun di negara ini. Orang yang Puda maksudkan itu adalah Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Sura Dato Seri Laila Jasa Awang Haji Abas bin Haji Serudin, adik bungsu kepada Yang Berhormat Menteri Hal-Ehwal Agama Negara Brunei Darussalam.

Dari kiri: Junaidi, Mohd Zaini, Abd Ghani, Abas


Nota Kaki:

Daftar kosa kata dan pengertiannya


kikik - sejenis permainan tradisional Brunei (yang diperbuat daripada kertas, temiang dll) yang dapat diterbangkan dengan tali

bergelut - bertungkus lumus, berkerja keras

aur - buluh

bergalau - mandi beramai-ramai sambil bermain-main (biasanya kanak-kanak)

temiang - buluh kecil yang nipis

berpulut - perlawanan kikik (biasanya dengan tali yang berbalahan) dengan tujuan untuk memutuskan tali kikik lawan

balahan - sebatian antara serbuk kaca dengan ambuyat dll(yang dicalitkan pada tali kikik) 

gauk - suka melakukan sesuatu yang dilarang seperti mengganggu (biasanya kanak-kanak)

menyaya - mengusik, mengganggu, membuli (bully)



Salam hormat - Puda

1 comment:

Anonymous said...

this post is really touching :)

Happening dates