Layangan kartu (post card) dari Kota Pelabuhan Aden, Yemen
Allahyarham Haji Awang Omar adalah seorang hamba Allah yang taat beragama. Beliau tidak pernah lalai dan "pangling" dalam menjalankan kewajipannya sebagai seorang Muslim: tekun mengerjakan ibadah baik yang wajib mahu pun sunat, fasih dalam bacaan al-Qur'an dan mempunyai suara yang lemak merdu serta mempunyai minat yang mendalam dalam bacaan (dan melagukan) dzikir maulud.
Bagi menyempurnakan rukun Islam yang kelima, Allahyarham telah mengerjakan ibadah Haji dan menjadi 'tetamu' Baitullah sebanyak dua kali. Kali pertama beliau berangkat ke Tanah Suci Mekah pada tahun 1963, beliau pergi bersendirian tanpa ditemani oleh isteri. Beliau sebenarnya memenuhi tanggungjawab untuk menemani bapa mertuanya iaitu Ninda Haji Md Tahir bin Ahmad bagi mengerjakan ibadah Haji pada waktu itu. Turut serta dalam rombongan bakal haji tahun tersebut ialah abang Allahyarham sendiri iaitu Allahyarham Haji Abd Razak bin Abd Hamid yang ditemani oleh isterinya, Allahyarhamah Hajah Tirahmat binti Tajudin dan anak asuh perempuan mereka, Dayang Hajah Sapiah binti Haji Abd Rahman.
Seperti yang Puda coretkan di dalam posting yang lalu, pengembaraan atau perjalanan dari Negeri Brunei ke negara-negara jiran apatah lagi ke negara Timur Tengah di tahun-tahun enam puluhan biasanya dilakukan melalui jalan laut. Jarang sekali digunakan pesawat kapal terbang, mungkin kerana ketiadaan penerbangan ketika itu, dan jika ada pun, kemungkinan kosnya begitu tinggi. Seperti yang dijangkakan, keseluruhan rombongan bakal haji di tahun 1963 itu berangkat meninggalkan Brunei menggunakan kapal laut.
Puda masih ingat bahawa ayahanda Allahyarham Haji Awang Omar berserta rombongan mula-mula berangkat dari rumah kediaman 'rumah putih' di Kampung Lurong Sikuna menuju ke Masjid Omar 'Ali Saifuddien di Bandar Brunei dan bermalam di sana. Mungkin ini dilakukan bagi mengambil sukut dan saat yang baik apabila berangkat meninggalkan rumah kediaman. Tradisi ini juga dilakukan oleh lain-lain rombongan bakal-bakal haji ketika itu. Masih terbayang di ruang ingatan Puda betapa hingar bingar dan riuhnya ratusan (mungkin jua ribuan) manusia kaum keluarga yang turut menghantar jemaah bakal haji di pekarangan Masjid Omar 'Ali Saifuddien.
Pada keesokan harinya, berduyun-duyunlah jemaah bakal haji ini berjalan kaki meninggalkan kawasan Masjid Omar 'Ali Saifuddien, sambil diiringi oleh kaum keluarga masing-masing, menuju ke Tambatan (Wharf) Kastam Diraja untuk menaiki beberapa buah kapal kecil (seperti kapal m.s. Bolkiah, m.s. Muara) kepunyaan Jabatan Laut (Merin) yang akan mengangkut mereka dari Bandar Brunei ke Pulau Labuan. Dari Labuan, jemaah akan menaiki kapal yang lebih besar, iaitu Kapal Haji Malaya M.S. Kuala Lumpur, yang boleh memuat lebih 1600 penumpang.
Pelabuhan yang pertama yang disinggahi oleh Kapal Haji Malaya ialah Pelabuhan Singapura, di mana ianya pula akan mengambil jemaah bakal haji dari Singapura. Sementara berlabuh di Singapura, jemaah bakal haji dari Brunei mengambil kesempatan untuk membeli belah keperluan yang perlu dibawa seperti kain ihram dan sehelai dua baju jubah/gamis untuk dipakai di tanah suci nanti. Allahyarham ayahanda Haji Awang Omar serta Allahyarham ninda Haji Md Tahir dan juga Allahyarham ayahanda Haji Abd Razak sekeluarga sempat merakamkan potret kenangan, lengkap dengan pakaian haji, di salah sebuah studio foto Singapura ketika itu.
Dari Singapura, kapal haji singgah di Pelabohan Port Swettenham, Semenanjung Malaya untuk mengambil jemaah bakal haji dari Malaya. Kapal meneruskan pelayaran ke Yemen dan singgah di kota Pelabuhan Aden dan seterusnya menuju ke Arab Saudi dan menamatkan pelayaran di Pelabuhan Jeddah. Rombongan bakal haji turun di Pelabuhan Jeddah dan meneruskan perjalanan dengan menggunakan kenderaan darat (bas) menuju ke Mekah dan kemudian ke Medinah.
Allahyarham ayahanda Haji Awang Omar begitu perihatin mengenai kesejahteraan ahli-ahli keluarga yang ditinggalkannya di Brunei ketika beliau berpergian menunaikan ibadah fardu haji. Semasa berlabuh di Pelabuhan Aden, beliau sempat menitipkan sehelai kartu 'post-card' yang ditujukan kepada anak lelakinya Awang Abd Ghani untuk mengkhabarkan perihal keadaan dan kesihatan beliau serta lain-lain ahli rombongan keluarga yang dalam perjalanan menuju ke Baitullah. Beginilah kandungan perkhabaran beliau yang ditulis tangan dengan elok dan kemas dalam huruf rumi............
"To,
Abd Ghani b. A. 'Umar
c/o. Noor Kaseh b. Awg. Ahmad
Pejabat Talekom
BRUNEI.
via SINGAPORE
Kami Jama'ah Haji selamat sampai di-Aden pada 10.3.63 semua di-dalam sehat walaffiat. Kira2 4 hari lagi dengan kuasa tohan kami akan sampai di-Judah.
Mudah2an dengan do'a habis Anakda semua-nya dalam Pelayaran kami di-dalam sehat demikian jua pehak di-sini amin!!!
Ditandatangani:
A. H. Umar
10.3.63."
Salam aidilfitri - Puda
No comments:
Post a Comment